Pengenalan
Cinta adalah fitrah ( kompenan kejadian manusia ) Firman Allah:
فِطْرَةَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّه[1]
ِMaksudnya:
Fitrah Allah SWT yang telah menciptakan manusia menurut fitrah.tidak ada perubahan pada fitrah itu .
Dalam al-Quran, terdapat 82 kalimah cinta ([2]( حب. Ia menyatakan tenteng pelbagai aspek termasuk cinta Khaliq ( Pencipta ), cinta rasul, cinta sesama manusia dan lain-lain. Cinta merupakan satu perkara penting dalam persoalan hidup, lebih-lebih lagi cinta tersebut ada kaitannya dengan keharmonian rumah tangga, kebahagiaan hidup, kemesraan sesama masyarakat dan cinta yang mendapat keredhaan Ilahi.
Pengertian ( Definisi )
Apakah makna cinta?
Cinta dari segi bahasa ialah berperasaan sangat sayang samada kepada Negara, orang tua, kebahagiaan dan lain-lain. Ia juga bermaksud perasaan sangat berahi ( asyik ) atau rindu antara lelaki dan perempuan serta kecenderungan kepada sesuatu yang menarik.[3]
Dari segi istilah, cinta adalah pertautan atau ikatan hati yang menyebabkan seseorang menikmati kebahagiaan, ketenangan jiwa dan kepuasan.[4]
Sehubungan itu, Al-Quran telah menyatakan tentang masalah cinta ini dalam beberapa keadaan. Di antaranya firman Allah SWT.
زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاء وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالأَنْعَامِ وَالْحَرْثِ ذَلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَاللّهُ عِندَهُ حُسْنُ الْمَآبِ[5]
Maksudnya:
Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).
Berdasarkan ayat di atas, manusia telah diciptakan Allah SWT mempunyai watak atau tabiat semulajadi menyukai nafsu syahwat (cinta ) kepada enam perkara[6]
1- Perempuan-perempuan: Merekalah tempat idaman hati dan tumpuan mata, kerana kepada merekalah terletak ketenteraman jiwa.
2- Anak-anak samada lelaki atau perempuan.
3- Harta benda yang bertimbun-timbun daripada jenis emas dan perak. Mencintai harta memang telah menjadi perkara asas kepada manusia. Dengan harta dapat menunaikan segala cita-cita.
4- Kuda yang bagus. Dalam erti kata lain bermaksud kenderaan yang elok atau mewah dan dijadikan sebagai lambang kemegahan.
5- Binatang ternakan seperti unta, lembu dan kambing. Dalam konteks semasa ia bermaksud aset harta benda, sumber kekayaan dan pendapatan.
6- Sawah ladang atau pemilikan tanah dan kawasan lebih-lebih lagi yang mempunyai nilai komersial tinggi.
Semua perkara tersebut adalah menjadi kesukaan ( kecintaan ) hidup di dunia yang sementara, tetapi ditegaskan bahawa terdapat perkara yang membawa kenikmatan yang baik dan kekal iaitu di Syurga.
Dalam ayat berkenaan juga, Allah SWT menyebut wanita terlebih dahulu kerana godaan dan gangguan yang disebabkan oleh wanita lebih kuat. Walaupun demikian, jika tujuan mencintai atau menyukai wanita kerana untuk mendapat zuriat melalui ikatan perkahwinan ia adalah sangat baik dan dianjurkan oleh Islam. Mencintai anak untuk tujuan memperbanyakan keturunan juga diseru oleh agama. Begitu juga mencintai harta kerana untuk beri nafkah serta tujuan sosial, mencintai kemudahan lain seperti kuda ( kenderaan ) untuk kegunaan mencari rezaki, mencintai binatang ternakan untuk dipelihara dan dikeluarkan zakat, mencintai ladang ( الحرث ) kerana bercucuk tanam mencari nafkah merupakan aspek cinta ( keinginan ) yang digalakan dalam Islam.[7]
Hukum Bercinta
Syeikh Atiyyah Saqr menjelaskan bahawa hokum bercinta ada beberapa ketogari seperti berikut:[8]
1- Wajib seperti mencintai Allah SWT dan Rasulullah SAW. Islam meletakkan cinta yang tertinggi dalam kehidupan manusia ialah cinta kepada Allah SWT. Ketinggian nilai mendekatkan diri hamba kepada Pencipta dapat dikesan melaui cinta nurni mereka kepada Allah SWT. Begitu juga kewajipan mencintai Rasulullah SAW dibuktikan melalui kepatuhan serta kecintaan terhadap sunnahnya.
2- Sunat seperti mencintai orang-orang soleh.
3- Haram seperti mencintai perkara-perkara haram, amalan dosa dan sebagainya.
Namun yang menjadi persoalan di kalangan masyarakat ialah berkaitan cinta di antara dan perempuan khususnya masalah berhubung remaja pada waktu ini. Cinta dalam situasi begini kadang-kadang atas dasar perasaan sanubari (حبا قلبا أي عاطفيا قد يكون) dan kadang-kala atas dasar nafsu syahwat ( حبا شهويا جنسيا قد يكون ). Perbezaan di antara keduanya agak terperinci, bahkan hampir sama dari segi perasaan, tetapi cinta atas dasar perasaan sanubari disebabkan pandangan tidak segaja dan jiwa ( نظر الفجأة وحديث النفس العابر ) termasuk dalam perkara yang tidak dapat dielakkan seperti yang dinyatakan:
وقد يدخل تحت الأضطرار فلا يحكم عليه بحل ولاحرمة
Kadang-kadang termasuk dalam perkara darurat, tidak dapat dihukum dengan halal mahupun haram.
Manakala cinta atas dasar nafsu syahwat atau berahi lebih-lebih lagi berpanjangan maka hukumnya haram. Perkara ini menjadi haram kerana mendorong melakukan unsur-unsur maksiat.
( فهو حرام بسبب حرمة السبب المؤدي له )
Contoh yang nyata: khalawat dengan perempuan ajnabiah, bersentuhan, belaian dengan belaian cinta hingga melanggar batas-batas syariat. Oleh itu, cinta antara lelaki dan perempuan tidak menjadi kesalahan jika dalam masa yang singkat diikat dengan pertunangan dan perkahwinan. Dengan ini dapat membendung perkara yang tidak baik serta menghalang dari berlaku maksiat.
Secara umumnya, cinta mengikut keutamaan dalam Islam seperti berikut:
1- Cinta kepada Allah SWT.
2- Cinta kepada Rasulullah SAW.
3- Cinta kepada kedua ibu bapa.
4- Cinta kepada sesama mukmin.
Cinta dunia remaja serta masalah sosial
Tidak ada orang yang boleh mendakwa dirinya lari dari mainan perasaan. Asal saja ia bermana manusia, maka sekaligus dirinya akan dicuba dengan mainan nafsubyang bagaikan lautan ganas yang begitu kuat gelombang. Salah satu darinya mainan cinta ( fall in love ) . cinta itu bermula dengan mainan mata yang tidak mempunyai sempadannya, ia kemudiannya diikut dengan sahutan suara dan saling berhubung sampai keperingkat tersebut, amat sukar sekali bagi pasangan cinta untuk tidak bertemu dan 'dating' sekaligus mendedahkan diri kepada aksi yang lebih hebat. Oleh kerana itulah, Islam menjaga kesucian cinta dari dicemari oleh unsur-unsur nafsu meletakkan batasan pandangan seorang muslim dan muslimah. Ia dijelaskan dalam surah An-Nur ayat 30:
Betapa bahayanya cinta berlandaskan keinginan nafsu semata-mata, ia boleh dilihat apabila pasangan yang dihanyutkan olehnya tidak akan berupaya untuk berfikir secara waras lagi. Setiap detik dan masa yang berlaku tidak akan sunyi dari memikirkan persoalan cinta mereka.
Setiap saat, jika sudah tidak mampu lagi untuk tenteram sekiranya tidak didodoikan dengan suara halus dan lunak yang berbicara dengan kata-kata yang hanya layak diperdengarkan di dalam kelambu. Sudah berkubur cita-cita perjuangan dan sudah lebuh harapan masyarakat yang dipikul di atas bahu, yang ada hanyalah kehendak memuaskan hati pasangan masing-masing. Lantas, di saat demikian, layakkah orang yang hanyut ini diharapkan memikul tanggungjawab melaksanakan tugas penting membimbing masyarakat?
Apakah penyelesaian terhadap permasalahan ini? Jalan yang paling baik ialah perkahwinan. Selain daripada perkahwinan yang tentunya merupakan perkara yang hampir mustahil untuk dilaksanakan dalam dunia seorang penuntut ilmu, maka Rasulullah SAW mencadangkan puasa sebagai jalan terbaik melepaskan diri dari kekuasaan nafsu yang meronta-ronta. Selain daripada perkahwinan, tidak dapat tidak, hanyalah kawalan terhadap jiwa mampu menyelamatkan diri sendiri dari turut terjun dalam arus ganas cinta remaja khususnya.
Sesungguhnya cinta sebelum perkahwinan adalah cinta palsu, walaupun dihiasi dengan rayuan-rayuan halus namun ia adalah panggilan-panggilan ke lembah kebinasaan. Andainya hati dihiasi dengan rayuan-rayuan syaitan yang seringkali mengajak ke arah melayan perasaan, maka hilanglah di sana cita-cita agung untuk menabur bakti kepada Islam sebagai medan jihat dan perjuangan.
Persoalan yang penting sekarang ialah apakah yang diperolehi oleh mereka yang bercinta sebelum kahwin apabila mereka sudah saling mengetahui segala perkara mengenai diri masing-masing. Sudah tidak ada nikmat selepas kahwin. Apatah lagi kalau sudah terlanjur, kemudian kahwin pula dengan orang lain dan ternyata suami itu cinta kepadanya. Individu tersebut akan menyesal kerana "she got nothing to offer" kepada suami yang betul-betul mencintainya. Inilah akan melahirkan perasaan dendam dan bersalah. Jadi eloklah dipagari perhubungan lelaki dan perempuan.
Kenikmatan cinta antara lelaki dan perempuan akan hadir selepas berkahwin. Tidak hairanlah kalau suasan bulan madu akan lebih panjang malah akan terus berkekalan sepanjang perkahwinan.
Percayalah, masa muda yang dianugerahkan oleh Allah SWT hanya sekali berlalu dalam hidup. Ia tidak akan berulang lagi untuk kali kedua atau seterusnya. Meniti usia remaja dengan berhati-hati dan mengenepikan mainan perasaan adalah merupakan perkara yang amat sukar sekali. Apatah lagi, semakin dihambat usikan perasaan, semakin ia datang mengcengkam dan membara. Namun, itulah mujahadah melawan perasaan. Sekadar perasaan dan diri sendiri menjadi musuh, alangkah baiknya jika digunakan sebaik mungkin mendalami ilmu dan melakukan amal soleh.[9] Oleh yang demikian, apakah yang akan menyelamatkan kita selain keimanan, ketakwaan dan kemantapan ilmu?
Beberapa contoh akibat cinta remaja:
1- Happy Valentine Day.
2- April Fool.
3- Free Life / Free sex
4- Saturday Nigh Fever.
5- Love Bite.
6- Hedonisme.
Kesimpulan
Oleh kerana begitu berat ancaman dan pengaruh luar, marilah kita sama-sama mantapkan keimanan dengan mencintai Yang Maha Agung Allah SWT.
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ حُبَّكَ وَحُبَّ مَنْ يُحِبُّكَ وَالْعَمَلَ الَّذِي يُبَلِّغُنِي حُبَّكَ اللَّهُمَّ اجْعَلْ حُبَّكَ أَحَبَّ إِلَيَّ مِنْ نَفْسِي وَأَهْلِي وَمِنَ الْمَاءِ – رواه الترميذي.
Ya Allah! Kurniakanlah kepadaku kecintaan kepada-Mu, kecintaan kepada orang yang cintai-Mu dan kecintaan kepada amalan yang membawa kepada kecintaan-Mu Ya Allah! Jadikanlah kecintaan-Mu lebih daku cintai daripada diriku, hartaku, keluargaku dan air yang sejuk.[10]
[1] - Surah Ar-Rum: 30
[2] - عبد الباقي, محمد فوئد, المعجم المفهرس لألفاظ القرآن الكريم
[3] - Kamus Dewan, Dewan Bahasa dan Pustaka, m.s. 241 Edisi ketiga, 1996.
المعجم الوسيط, مجمع اللغة العربية, ج1, ص 151.
[4] - صقر, عطية, أحسن الكلام في الفتاوى والأحكام, ج4, ص 85.
[5] - Surah Aali Imran: 14
[6] - Mohamad, Ahmad Sonhadji, Tafsir A-Quran- عبر الأثير juzuk 3, m.s. 102-104.
[7] - ابن كثير, تفسيرالقرآن العظيم, ج 1 , ص 351 .
[8] - صقر, عطية, أحسن الكلام في الفتاوى والأحكام, ج4, ص 85-88.
[10] - القاري, الملا علي, مرقاة المفاتيح شرح مشكاة المصابيح, ج5, ص 361-362.
[16] - رواه ابن عساكر والديلمي في الفردوس
[17] - رواه أحمد في مسند العشرة المبشرين بالجنة
[18] - Ulman, Abdullah Nasih, Tarbiyyah Awlad, Juz.1.
[19] - Surah Al -Nahl:97