Ahad, 8 Ogos 2010

Tanggungjawab Sebagai Khalifah Allah

Pendahuluan

Sebagai insan yang beriman, kita menyakini bahawa kehidupan kita di atas muka bumi ini ada matlamat dan tujuannya. Tidak mungkin Allah SWT yang menjadikan makhluk-makhlukNya, terutama sekali makhluk manusia untuk disia-siakan begitu sahaja.

Di antara peranan utama manusia di atas muka bumi ini ialah sebagai khalifah. Perkataan khalifah bererti penyambung, penghubung dan yang diamanahkan untuk menyampaikan atau mengerjakan sesuatu. Perkataan ini juga bermaksud pengganti bahkan disebut khalifah sebagai ketua agama dan raja di sesebuah negeri Islam[1]. Seterusnya menjadi Khalifah Allah di muka bumi bermaksud menjadi wakil yang dilantik oleh Allah SWT untuk mentadbir dan menguruskan bumi ini, disamping memakmurkannya supaya menjadi tempat tinggal yang baik untuk didiami oleh seluruh penghuninya[2].

Firman Allah SWT:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلاَئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الأَرْضِ خَلِيفَة[3]ً

Maksudnya:

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi".

Firman Allah SWT dalam ayat yang lain:

وَهُوَ الَّذِي جَعَلَكُمْ خَلاَئِفَ الأَرْضِ وَرَفَعَ بَعْضَكُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَاتٍ لِّيَبْلُوَكُمْ فِي مَا آتَاكُمْ إِنَّ رَبَّكَ سَرِيعُ الْعِقَابِ وَإِنَّهُ لَغَفُورٌ رَّحِيمٌ[4]

Maksudnya:

Dan Dia lah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Ia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakanNya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksaNya, dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Kemuliaan Manusia

Di dalam Al-Quran terdapat sembilan kalimah khalifah atau khalaif[5]. Ia secara umumnya membicarakan mengenai peranan manusia seabagai khalifah Allah di muka bumi. Dengan demikian, jelas kepada kita betapa mulianya darjat manusia yang dikurniakan oleh Allah SWT. Sebagai manusia, perkara ini seharusnya kita sedari dan insaf. Betapa para malaikat yang sentiasa mentaati Allah dan tidak pernah melanggar perintahnya tidak dilantik oleh Allah sebagai khalifah, sebaliknya manusia pula yang dipilih.

Demikian kehendak Allah SWT. Tuhan Yang mencipta segala-galanya, Yang memiliki segala-galanya, lantas berhak secara mutlak untuk menentukan apa sahaja bagi makhluk-makhlukNya. Oleh yang demikian, kemuliaan yang begitu tinggi yang Allah SWT kurniakan kepada kita sebagai manusia semestinya dipelihara dan dikekalkan dengan iman, taqwa dan amal soleh. Tidak sepatutnya kemuliaan kita dicampur dengan keingkaran atau maksiat. Demikianlah beratnya tugas yang Allah SWT dipikulkan ke atas manusia. Di tangan manusialah terletaknya kemakmuran bumi ini.

Kelebihan Akal

Dengan pemberian akal kepada manusia, maka ia melebihi makhluk-makhluk lain. Dengan akal, manusia dapat mengatasi tempat dan waktu, sedangkan tumbuhan terikat oleh tempat dan waktu, manakala haiwan terikat oleh waktu. Manusia dapat mengembara di permukaan muka bumi, bahkan mampu keluar dari bumi. Manusia melepaskan waktu yang dilaluinya kini dengan mengingati kejadian pada masa lampau dan menyusun setiap perancangan untuk masa akan datang. Maka terbahagilah masa itu kepada kelmarin, hari ini dan esok.

Justeru kelebihan akal serta daya pemikiran yang ada pada manusia menyebabkan dia dapat mengatasi kehebatan makhluk-makhluk lain. Sekalipun manusia tidak berkaki empat seperti kuda, namun dengan keretanya lebih laju daripada kuda. Sekalipun tidak diciptakan mempunyai anggota renang dan insang seperti ikan, dengan kapalnya lebih mampu berenang dan menyelam daripada ikan. Sekalipun manusia tidak mempunyai sayap seperti burung, dengan pesawat udaranya dapat terbang lebih cepat dan lebih jauh daripada burung. Sekalipun tidak diperlengkapkan dengan anggota badan seperti cacing, manusia lebih mampu masuk ke dalam bumi dengan menerokai khazanah bumi, membuat terowong, membina bangunan dan sebagainya.

Selama ini disangka manusia terikat oleh bumi ( graviti ) kerana tidak mungkin dapat menembus lapisan udara yang mengelilingi planet tempat kediamannya. Namun dengan akal yang menjadi sumber sains dan tangan sebagai penggerak teknikl, manusia mampu melepaskan dirinya dari bumi, menjelajah ruang angkasa luar, singgah di bulan. Demikianlah manusia dengan sains dan alat-alat ciptaanya menjadi penguasa di bumi, menjadi raja dalam kehidupan dunia. Dengan akal, Allah SWT meneguhkan kekuasaan manusia dalam kehidupannya[6].

Keruntuhan Nilai

Kelebihan akal pemikiran menyebabkan manusia dipertanggungjawabkan untuk tadbir urus bumi dan kehidupan penghuni-penghuninya. Akan tetapi bukan sahaja manusia deangan akalnya membina kehidupan bahkan dengan akal itu juga dia akan merosakkan kehidupannya. Dengan senjata perang yang direka-cipta, manusia membunuh sesama manusia dan merosakkan alam. Dicemarinya udara dan laut, dikacaunya peredaran udara dan mengancam alam sekitar.

Apabila otak sahaja yang diperkaya deangan ilmu pengetahuan tetapi jiwa ( hati) dibiarkan kosong dari pegangan agama, maka godaan syaitan serta dorongan nafsu akan menggerakkan tangan menciptakan alat-alat yang membawa kemusnahan hidup. Kerosakan bumi ini berlaku apabila manusia terlalu mementingkan dirinya sendiri hingga sanggup mengenepikan kepentingan orang lain dan seluruh penghuni bumi. Firman Allah SWT:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ[7]

Maksudnya:

Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).

Oleh itu dengan diberikan kekuasaan dan diangkatnya menjadi khalifah, manusia juga dibebankan tanggungjawab, Raja sekalian raja ( مالك الملك ) iaitu Allah SWT. Akan menghisab di akhirat nanti mengenai pelaksanaan tanggungjawab tersebut sebagaimana manusia yang telah dilantik sebagai khalifah ( raja ) di dunia. Dengan akalnya manusia dapat berbuat baik, tetapi juga dapat berbuat jahat. Yang paling penting sejauh mana manusia tadi dapat memanfaatkan segala anugerah Allah SWT untuk tujuan kebaikan. Kita bimbang jika anugerah Allah SWT seperti akal khususnya diselewengkan ke arah yang tidak baik.

Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيراً مِّنَ الْجِنِّ وَالإِنسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لاَّ يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لاَّ يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لاَّ يَسْمَعُونَ بِهَا أُوْلَـئِكَ كَالأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُوْلَـئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ[8]

Maksudnya:

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.

Ciri-ciri Asas Seorang Khalifah

  1. Berilmu

Kemantapan seseorang dalam agama ini bergantung di atas kekuatan mental dan kemantapan ilmu serta kesempurnaan budi pekerti. Orang yang berilmu mampu menguruskan kehidupan dengan teratur serta membawa kebaikan dalam setiap keputusan.

Sabda Rasulullah SAW

إِذَا وُسِّدَ الأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ [9]

Maksudnya:

Apabila sesuatu urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya maka tunggulah saat kebinasaan.

  1. Moral yang tinggi seperti amanah, prihatin, mesra dan lain-lain.

Seseorang pemimpin yang beramanah merupakan pemimpin yang berjaya memberi contoh teladan yang baik dan mampu menghadapi segala ancaman dan godaan.

Sabda Rasulullah SAW:

فَإِذَا ضُيِّعَتِ الأَمَانَةُ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ[10]

Maksudnya:

Apabila diselewengkan sesuatu amanah maka tunggulah saat kebinasaan.

  1. Mempunyai hubungan baik

Di antara cirri-ciri kepimpinan adalah sikap mesra dan mengeratkan hubungan khususnya dalam menyelesaikan masalah.

  1. Komitmen terhadap tugas

Bertanggungjawab terhadap tugas seperti menepati masa, kecekapan melaksanakan kerja dan berkualiti.

  1. Ikutan terbaik

Seseorang pemimpim perlu menjadi contoh ( role model ) kepada pemimpinannya bukan sekadar mempunyai kedudukan atau jawatan tetapi berkesan membimbing melalui tingkah-laku dan penampilan diri.

Kesimpulan

Sesungguhnya kita mempunyai tanggungjawab sebagai khalifah Allah yang merupakan satu peranan yang paling utama perlu kita laksanakan. Khalifah atau pemimpin memberi maksud yang luas, samada khalifah kerana memimpin negara, khalifah kerana mengetuai sesebuah organisasi, khalifah kerana memimpin keluarga dan lain-lain. Apa jua kedudukan, kita sebagai manusia akan dipersoalkan kelak tentang tanggungjawab masing-masing.

Sabda Rasulullah SAW:

كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ الإِمَامُ رَاعٍ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ وَالرَّجُلُ رَاعٍ فِي أَهْلِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ فِي بَيْتِ زَوْجِهَا وَمَسْئُولَةٌ عَنْ رَعِيَّتِهَا وَالْخَادِمُ رَاعٍ فِي مَالِ سَيِّدِهِ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ قَالَ وَحَسِبْتُ أَنْ قَدْ قَالَ وَالرَّجُلُ رَاعٍ فِي مَالِ أَبِيهِ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ وَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِه[11]

Maksudnya:

Setiap kamu adalah pemimpin. Dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap tanggungannya seorang ketua adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap orang bawahannya, seorang lelaki bertanggungjawab terhadap keluarganya dan akan disoal tentang tanggungjawab tersebut. Seorang isteri adalah pemimpin di rumah suaminya dan bertanggungjawab terhadap tugasnya. Seorang khadam adalah pemimpin terhadap harta tuannya serta bertanggungjawab tentang amanah tersebut. Dan setiap kamu akan disoal tentang tanggungjawab masing-masing.



[1] - Harun Din, Manusia dan Islam, m/s 192, Jilid 3 ( 1990 ).

[2] - الرحيلي وهبة, التفسير المنير, ج1, ص 126

[3] - Surah Al-Baqarah: 30

[4] - Surah Al-An'am : 165

[5] - عبد الباقي, محمد فؤاد, المعجم المفهرس لألفاظ القران الكريم, ص 305 .

[6] - Harun Din, Manusia dan Islam, m.s. 195, jilid 3 ( 1990 )

[7] - Surah Ar-Rum: 41

[8] - Surah Al – A'raf : 179

[9] - رواه البخاري ( 59 ) في كتاب العلم

[10] المرجع نفسه -

[11] - في كتاب الجمعة ( 893 ) رواه البخاري

2 ulasan:

saye aina :) berkata...

mintak izin untuk copy sedikit maklumat untuk presentation class :)
terima kasih :)

Amirah kamis berkata...

Mints izin nk copy ilmu Dr sini untuk tugasan