Ahad, 22 Ogos 2010

Keluarga Bahagia

KELUARGA BAHAGIA

Pengenalan

Keluarga merujuk kepada saudara-mara, kaum kerabat atau sanak saudara. Bahkan istilah keluarga disebut dalam pelbagai bentuk dan membawa pengertian yang agak berbeza. Antaranya keluarga sedarah iaitu sekalian orang yang mempunyai perhubungan keturunan antara satu sama lain ( sama nenek moyang ). Keluarga semenda bermaksud sekalian orang yang mempunyai pertalian kerana perkahwinan. Juga disebut keluarga angkat bererti saudara angkat oleh kerana mempunyai hubungan yang mesra. Namun kebiasaan maksud perkataan keluarga lebih dikhususkan kepada seisi rumah tangga yang terdiri daripada suami isteri berserta anak-anak.[1]

Bahagia pula bererti suasana yang senang dan aman damai serta gembira dalam kehidupan[2]. Namun perkataan keluarga menurut pandangan Islam memberi maksud yang lebih umum. Dalam bahasa Arab disebut keluarga sebagai أهلatau أسرة. Tetapi di dalam al-Quran hanya menyebut أهل, آل, dan أولى القربى. Ia bukan sahaja bererti setiap orang yang mempunyai pertalian darah bahkan berkaitan dengan agama. Sebahagian petikan firman Allah SWT:

قَالَ يَا نُوحُ إِنَّهُ لَيْسَ مِنْ أَهْلِكَ إِنَّهُ عَمَلٌ غَيْرُ صَالِحٍ

Maksudnya:[3]

Allah berfirman: "Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu (kerana ia telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya); sesungguhnya bawaannya bukanlah amal yang soleh.

Oleh itu al-Qurtubi berkata:

حكم الإتفاق في الدين أقوى من حكم النسب

( Hukum persamaan di dalam satu agama lebih kuat daripada persamaan dalam satu keturunan ).[4]

Manakala bahagia menurut persepesktif Islam bermaksud kebaikan di dunia di akhirat, sebagaimana doa di dalam al-Quran:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya[5]:

"Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka".

Erti kebaikan atau kebahagiaan di dunia ialah kesihatan, keamanan, rezeki yang berkat, anak soleh, isteri solehah dan kemenangan ke atas musuh. Maksud kebaikan atau kebahagiaan di akhirat pula ialah kemenangan dengan dilimpahkan pahala yang banyak serta bebas dari menerima balasan azab.[6]

Peranan Suami-Isteri dan Ibu-bapa

Pengasas utama kepada pembentukan sesebuah keluarga adalah sepasang suami-isteri. Isteri menjadi tanggungjawab seorang suami khususnya menyempurnakan nafkah perbelanjaan dari sezeki yang halal agar kehidupan diberkati dan diredhai oleh Allah SWT Rasulullah SAW pernah memberitahu tentang kewajipan seorang suami terhadap isterinya dalam hadis baginda:

عَنْ حَكِيمِ بْنِ مُعَاوِيَةَ الْقُشَيْرِيِّ عَنْ أَبِيهِ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا حَقُّ زَوْجَةِ أَحَدِنَا عَلَيْهِ قَالَ أَنْ تُطْعِمَهَا إِذَا طَعِمْتَ وَتَكْسُوَهَا إِذَا اكْتَسَيْتَ أَوِ اكْتَسَبْتَ وَلا تَضْرِبِ الْوَجْهَ وَلا تُقَبِّحْ وَلا تَهْجُرْ إِلا فِي الْبَيْتِ

Maksudnya:[7]

Memberi makan kepadanya sebagaimana kamu makan, memberikannya pakaian sebagaimana kamu pakai, jangan pula kamu memukul mukanya dan jangan memburuk-burukkannya serta jangan menghalaunya dari rumah kamu.

Begitu juga seorang suami perlu menunjukkan contoh teladan yang baik buat isterinya dan keluarganya. Sabda Rasulullah SAW

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا وَخِيَارُكُمْ خِيَارُكُمْ لِنِسَائِهِمْ خُلُقًا

Maksudnya:[8]

Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah orang yang paling baik budi pekertinya dan orang yang baik daripada kalangan kamu ialah orang yang melakukan kebaikan kepada isterinya-isterinya.

Bagi seorang isteri, ia perlu menjadi wanita yang patuh dan taat kepada suami untuk melayakkan diri sebagai isteri solehah. Sabda Rasulullah SAW:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الدُّنْيَا مَتَاعٌ وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ

Maksudnya:[9]

Dunia ini penuh perhiasan dan perhiasan yang paling indah sekali ialah wanita solehah.

Malah isteri solehah sentiasa mengingati pesanan Rasulullah SAW:

عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَوْفٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خَمْسَهَا وَصَامَتْ شَهْرَهَا وَحَفِظَتْ فَرْجَهَا وَأَطَاعَتْ زَوْجَهَا قِيلَ لَهَا ادْخُلِي الْجَنَّةَ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شِئْتِ

Maksudnya:[10]

Jika seseorang wanita menunaikan solat lima waktu, berpuasa sebulan Ramadhan, memelihara kehormatannya, memtaati suaminya, nescaya dia dapat masuk Syurga.

Dengan wujudnya hubungan suami-isteri, kedua-duanya akan mempunyai tanggungjawab yang lebih besar apabila dikurniakan anak. Suami tadi telah dipikul dengan bebanan sebagai seorang bapa. Manakala isteri pula menerima tugas sebagai seorang ibu. Sabda Rasulullah SAW:

أَنَّ عَبْدَاللَّهِ بْنَ عُمَرَ يَقُولُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ الإِمَامُ رَاعٍ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ وَالرَّجُلُ رَاعٍ فِي أَهْلِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ فِي بَيْتِ زَوْجِهَا وَمَسْئُولَةٌ عَنْ رَعِيَّتِهَا وَالْخَادِمُ رَاعٍ فِي مَالِ سَيِّدِهِ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ قَالَ وَحَسِبْتُ أَنْ قَدْ قَالَ وَالرَّجُلُ رَاعٍ فِي مَالِ أَبِيهِ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ وَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

Maksudnya:[11]

Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang di bawah pimpinan kamu, seorang pemerintah adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan terhadap rakyatnya, seorang lelaki adalah pemimpin kepada anggota-anggota keluarganya dan akan dipersoalkan terhadap tanggungjawabnya terhadap keluarganya, seorang wanita adalah pemimpin dirumah suaminya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anak-anaknya dan pimpinanannya, dan khadam adalah diamanahkan terhadap harta tuannya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang berada di bawah amanahnya.

Seorang bapa bertanggungjawab bagi menjaga ahli keluarganya dari melakukan perkara membawa kemurkaan Allah SWT. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَاراً

Maksudnya[12]:

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka

Sabda nabi SAW:

قَالَ أَوِ ابْنُ سَعِيدِ بْنِ الْعَاصِ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا نَحَلَ وَالِدٌ وَلَدَهُ أَفْضَلَ مِنْ أَدَبٍ حَسَنٍ

Maksudnya:[13]

Tiada sesuatu yang lebih afdhal diberi kepada seorang anak oleh bapanya melainkan didikan yang baik.

Begitu juga seseorang ibu perlu menjadi pendidik atau pengasuh anak yang terbaik. Sepanjang ketiadaan suami atau bapa di rumah kerana keluar mencari rezeki, maka ibulah yang memainkan peranan utama dalam urusan di rumah dan mendidik anak-anak.

Kewajipan Anak

Memberi layanan dan berbuat baik kepada kedua-dua orang tuanya. Melalui didikan ibu-bapa yang sempurna seseorang anak tidak akan menderhaka ibu-bapanya kerana mengetahui tentang larangan serta dosa besar. Sabda Rasulullah SAW:

عَنْ عَبْدِالرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي بَكْرَةَ عَنْ أَبِيهِ رَضِي اللَّه عَنْهم قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَلا أُنَبِّئُكُمْ بِأَكْبَرِ الْكَبَائِرِ قُلْنَا بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ الإِشْرَاكُ بِاللَّهِ وَعُقُوقُ الْوَالِدَيْنِ

Maksudnya[14]:

Mahukah aku beritahu kepada kamu sekalian tentang perbuatan dosa yang paling besar? Mereka menjawab: Ya, wahai Rasulullah SAW. Sabda Rasulullah SAW: perbuatan syirik kepada Allah SWT dan derhaka kepada kedua-dua ibu-bapa.

Sabda Rasulullah SAW lagi:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ قِيلَ مَنْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ مَنْ أَدْرَكَ أَبَوَيْهِ عِنْدَ الْكِبَرِ أَحَدَهُمَا أَوْ كِلَيْهِمَا فَلَمْ يَدْخُلِ الْجَنَّةَ

Maksudnya[15]:

Alangkah ruginya, alangkah ruginya, alangkah ruginya,. Baginda ditanya: siapakah dia yang rugi, wahai Rasulullah SAW? Jawab baginda SAW: mana-mana anak yang sempat dengan hayat kedua-dua ibu-bapanya atau salah seorang daripada keduanya ( tetapi tidak berbuat baik dan menderhaka kepada keduanya ), lalu anak tadi tidak dapat masuk Syurga.

Menuju Kebahagiaan

Dengan wujudnya institusi keluarga yang bahagia iaitu tanggungjawab suami-isteri dilaksanakan dengan sempurna, peranan ibu-bapa dalam mendidikan anak-anak menjadi anak yang soleh, seterusnya anak-anak berbakti kepada kedua-dua orang tuanya maka kita akan melihat keharmonian dalam hidup dan ketenteraman dalam hubungan sesama masyarakat. Sabda Rasulullah SAW:

أربع من سعادة المرء أن تكون زوجة صالحة وأولاده أبرارا وخلطاؤه صالحين وأن يكون رزقه في بلده

Maksudnya[16]:

Empat perkara daripada kebahagian seseorang: Isterinya seorang wanita solehah, anak-anaknya baik, kawan-kawannya golongan solihin dan rezekinya di tanah airnya sendiri.

Sabda baginda SAW lagi:

حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ سَعْدِ بْنِ أَبِي وَقَّاصٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ سَعَادَةِ ابْنِ آدَمَ ثَلاثَةٌ وَمِنْ شِقْوَةِ ابْنِ آدَمَ ثَلاثَةٌ مِنْ سَعَادَةِ ابْنِ آدَمَ الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ وَالْمَسْكَنُ الصَّالِحُ وَالْمَرْكَبُ الصَّالِحُ وَمِنْ شِقْوَةِ ابْنِ آدَمَ الْمَرْأَةُ السُّوءُ وَالْمَسْكَنُ السُّوءُ وَالْمَرْكَبُ السُّوءُ

Maksudnya:[17]

Tiga daripada kebahagiaan anak Adam: Isteri solehah, tempat tinggal yang selesa dan kenderaan yang selesa. Dan tiga daripada kesusahan anak Adam: Isteri yang tidak baik, tempat tinggal yang tidak selesa dan kenderaan yang tidak selesa.

Kesimpulan

Keluarga yang bahagia dapat dicapai melalui pembentukan dan pendidikan akhlak oleh kedua ibu-bapa. Bila ibu-bapa gagal memberi didikan dengan baik maka anak-anak akan membesar menjadi generasi yang boleh mendatangkan kepincangan dalam masyarakat. Kata seorang penyair Mesir Ahmad Syauqi:

ليس اليتيم من توفي أبواه *** من هم الحياة وخلفاه ذليلا

إن اليتيم من تلقى له *** أما تخللت أو أبا مشولا

Maksudnya[18]:

Bukanlah anak yatim kerana kematian kedua-dua ibu-bapanya, lalu dia hidup susah. Sesungguhnya anak yatim itu, apabila engkau mendapati dirinya mempunyai ibu tetapi gagal mendidik atau bapa yang tiada masa bersama anaknya.

Seterusnya faktor yang paling penting bagi membawa kesejahteraan hidup adalah beriman dan beramal soleh. Firman Allah SWT.

مَنْ عَمِلَ صَالِحاً مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُواْ يَعْمَلُونَ

Maksudnya:[19]

Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.



[1] - Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, m.s. 620, Edisi Ketiga, 2002.

[2] - Ibid, m.s. 85

[3] - Surah Hud:46

[4] - القرطبي, محمد بن أحمد الأنصاري, الجامع الأحكام القرآن ( القاهرة, مصر: دار الحديث, ط 1 , 1414هـ - 1994م ), ج 9 , ص 48.

[5] - Surah al-Baqarah: 201

[6] - الزحيلي, وهبة, التفسير المنير ( بيروت, لبنان: دار الفكر العاصر, ط 1, 1421هـ- 1991م), ج2, ص 216.

[7] - رواه أبو داود في كتاب النكاح

[8] - رواه الترميذي في كتاب الرضاع

[9] - رواه مسلم في كتاب الرضاع

[10] - رواه أحمد في مسند العشرة المبشرين بالجنة

[11] - رواه البخاري في كتاب الجمعة

[12] - Surah at-Tahrim:6

[13] - رواه أحمد في مسند المكيين

[14] - رواه البخاري في كتاب الأدب

[15] - رواه مسلم في كتاب البر والصلة والأداب

[16] - رواه ابن عساكر والديلمي في الفردوس

[17] - رواه أحمد في مسند العشرة المبشرين بالجنة

[18] - Ulman, Abdullah Nasih, Tarbiyyah Awlad, Juz.1.

[19] - Surah Al -Nahl:97

Tiada ulasan: